Memberi makanan pertama kepada bayi anda adalah satu langkah besar dalam dunia keibubapaan. Bukan suka-suka kita boleh beri apa-apa makanan cuma kerana "orang dulu-dulu bagi makanan itu ini tapi tak jadi apa-apa pun". Dalam zaman moden dan sangat mudah mengakses ilmu dari sumber yang dipercayai, kenapa kufur nikmat ilmu itu dan sambil lewa memberi makanan yang terbukti secara saintifik tidak sesuai untuk bayi yang baru pertama kali belajar makan. Sedangkan tidur malam bayi itu kita selimutkan dan pakaikan stokin kerana bimbang sejuk atau digigit semut, tapi perutnya yang masih belum cukup matang kita tak pula jaga. Sebaliknya dengan mudah kita berikan makanan yang sukar dihadamkan oleh bayi kita.
Kenapa Beri Home-made Food?
Kebanyakan bayi menambah berat sehingga tiga kali ganda dalam tahun pertama hidupnya. Sebagai ibubapa, tanggungjawab kita untuk pastikan makanan bayi adalah segar dan sihat supaya anak-anak mendapat tumbesaran yang sihat.
Makanan bayi segera yang telah dibotolkan boleh jadi sehingga 10 kali lebih mahal berbanding makanan home-made. Malah makanan bayi yang dibotolkan juga tidak segar dan tidah sesihat yang kita selalu sangka. Tahukah anda, makanan bayi segera mempunyai jangka hayat rak sehingga 3 tahun? Kenapa kita mahu beri bayi kita makanan yang telah berusia 3 tahun? Dan walaupun sering disogok dengan fakta nutrisi, makanan bayi yang telah dibotolkan mampu berada di rak selama 3 tahun kerana ia telah dipanaskan dengan suhu yang sangat tinggi hingga tiada bakteria yang boleh hidup pada suhu itu. Tahukah anda, dengan suhu setinggi itu vitamin dan mineral yang terdapat dalam makanan tersebut turut musnah?
Makanan bayi home-made bukan sahaja murah, malah sangat segar dan bernutrisi tinggi. Selain itu, penyediaannya juga sangat mudah. Dalam masa beberapa minit, ibubapa boleh sediakan makanan segar untuk seminggu!
MERANCANG
Perancangan sangat penting sebelum memberi makanan pertama kepada anak. Ibubapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum memilih apa-apa jenis makanan sebagai makanan pertama anak. Selain itu, ibubapa juga perlu menyiapkan diri tentang cabaran dan dugaan sepanjang memperkenalkan makanan kepada anak. Antara perkara yang penting untuk ibubapa rancang ialah:
- Makanan yang perlu dielakkan sepanjang tahun pertama
- Makanan organik
- Bagaimana memilih menu yang menyeluruh untuk sepanjang minggu
- Bagaimana memilih produk yang paling segar
- Berapa banyak yang perlu dibeli untuk memenuhi keperluan anak
- Kebaikan makanan tersebut dari segi kesihatan bayi
- Peralatan yang diperlukan untuk menyediakan makanan bayi (pengisar, bekas penyimpanan etc)
- Peralatan makan (mangkuk, sudu, bib,botol air etc)
PENYEDIAAN
Paling penting untuk ibubapa pastikan ada peralatan yang perlu dan sesuai untuk menyediakan makanan bayi. Ini sangat penting kerana ia akan sangat memudahkan kerja dan lebih penting lagi, mengekalkan moodteruja ibubapa untuk terus menyediakan makanan home-made untuk bayi. Antara peralatan yang diperlukan:
- Set pengisar: batchbowl, shortcup, milling blade, grinding blade
- Bekas penyimpanan: untuk menyimpan stok makanan di peti sejuk / peti sejukbeku
- Mangkuk bayi: lengkap dengan suction cup supaya makanan tak tumpah
- Sudu: dengan hujung silikon atau plastik yang kecil dan lembut untuk keselamatan gusi bayi
- Kain lap: daripada material yang lembut
- Kerusi tinggi (High-Chair): jika perlu
- Bib: supaya baju bayi tidak kotor
Contoh-contoh set pengisar yang sesuai |
PENYIMPANAN
Anda boleh pilih untuk simpan makanan bayi yang telah siap dalam peti sejuk atau peti sejukbeku. Makanan yang disimpan di ruang peti sejuk dapat bertahan selama 3-4 hari. Dengan mengikut Peraturan Pemakanan 4 Hari, sesuai sangat ibubapa menyimpan makanan di ruang peti sejuk sahaja. Bagaimana pun, jika ada lebihan ketika anda menyediakan makanan, anda boleh bekukan di ruang sejukbeku. Makanan yang dibekukan boleh bertahan sehingga 1 bulan.
Penting untuk menggunakan bekas yang sesuai untuk penyimpanan. Pastikan anda menyimpan makanan bayi menggunakan bekas yang kedap udara dan diperbuat daripada bahan yang selamat. Ibubapa harus ingat bahawa makanan bayi tersebut perlu dipanaskan sebelum diberikan kepada bayi, oleh itu untuk memudahkan kerja anda pilihlah bekas yang boleh terus dipanaskan sama ada dalam microwave atau menggunakan air suam. Terdapat pelbagai bekas penyimpanan makanan bayi di pasaran. Pilih bekas dengan saiz kecil cukup untuk 1 saiz hidangan, bebas BPA dan selamat untuk dipanaskan. Dengan cara ini, anda tidak perlu menukar bekas beberapa kali untuk menyejuk, membeku, memanas atau menghidang makanan.
Satu bekas, 1 saiz hidangan. Bekas keras sesuai untuk simpanan di ruang peti sejuk |
Bekas silikon yang lembut sesuai untuk simpanan beku, mudah mengeluarkan makanan beku |
Jangan lupa untuk melabelkan tarikh makanan beku anda, untuk mengelakkan anda memberi makanan yang telah dibekukan terlalu lama!
Makanan beku yang telah dicairkan boleh bertahan sehingga 72 jam. Sebelum memberikan makanan sejuk atau beku yang telah dipanaskan, pastikan anda mencuba makanan tersebut dengan cara meletakkan sedikit di bibir anda. Tujuannya untuk pastikan makanan tersebut tidak terlalu panas untuk bayi. Jika makanan bayi dipanaskan menggunakan microwave, pastikan makanan tersebut dikacau rata untuk mengelakkan terdapat gumpalan makanan panas yang membahayakan bayi.
MENGHIDANG
Jangan sesekali simpan makanan yang telah terdedah lama atau telah diusik dengan sudu yang telah digunakan! Sentiasa buang baki makanan yang telah dihidangkan.
Untuk mencairkan makanan (defrost), turunkan makanan daripada ruang beku dan simpan di bahagian peti sejuk beberapa jam sebelum waktu makan. Atau ibubapa boleh rendam makanan (yang disimpan dalam bekas tertutup) di dalam bekas berisi air panas. Jika kesuntukan masa, tukar air panas beberapa kali supaya makanan cepat cair. Jika tidak, biarkan makanan dalam air panas dan ia akan cair dalam masa 20 minit.
Memanaskan makanan menggunakan microwave mungkin boleh menyebabkan terdapat gumpalan panas jika tidak dikacau rata. Hot spots ini boleh menyebabkan mulut bayi melecur. Ibubapa dicadangkan menggunakan budi bicara untuk memilih kaedah memanaskan makanan yang terbaik.
Sampai sini dulu emtri kali ini. Dalam entri akan datang, saya akan cerita tentang menu yang sesuai untuk bayi mengikut umur. Dan banyak lagi ilmu keibubapaan yang seronok dikongsi bersama. Selamat menjadi ibubapa :)
ID 921922
Batu Pahat, Johor
012-7807365
noraihanqusyairi@gmail.com
No comments:
Post a Comment