Dah ramai yang tegur saya dah lama tak update blog. Bukan taknak update, tapi saya baru lepas cuti seminggu. Biasalah, cuti-cuti sekolah bawa adik dan ayah jalan-jalan balik kampung sambil-sambil melawat abang kakak dan keluarga mertua. Ayah pun kali terakhir jumpa keluarga mertua saya ketika kami kahwin dulu, dah lebih setahun lepas. Adik pula bila lagi dapat berjalan kalau bukan cuti sekolah. Ibubapa (atau kakak) mana tak ambil cuti sempena cuti sekolah, kan? Inilah waktunya nak bawa mereka jumpa saudara mara. Hehe.
Tadi En. Qusyairi dan saya keluar berdating macam masa bercinta dulu. Kami menonton wayang cerita Fast and Furious 6. Dalam cerita tu, si hero Dom asyik ulang sebut perkara yang sama: betapa pentingnya kesetiaan pada keluarga. Sempena cuti-cuti dan cerita wayang yang bertemakan keluarga, saya pun mood baik nak bercerita tentang keluarga malam ini.
Saya ada dua orang abang dan tiga orang kakak. Selain itu, saya ada seorang adik lelaki. Ayah saya dah lama bersara, emak pula sudah empat tahun meninggalkan dunia. Kami adik beradik sangat rapat, terutamanya yang perempuan. Yang sulung abang, diikuti abang kemudian tiga orang kakak, kemudian saya dan seterusnya adik lelaki saya. Saya sangat sayang mereka.
Tak cukup korum dua orang. Ketika hari bahagia kami :) |
Tapi kawan-kawan semua takkan dapat menandingi keluarga. Bila saya ada masalah yang betul-betul besar punya masalah, saya akan kongsi dengan keluarga. Keluarga tak pernah membelakangkan saya. Saya pun taknak membelakangkan mereka.
Ketika saya sekolah, study group saya adalah dengan kakak-kakak saya. Sebab itu saya tak banyak masalah dengan pelajaran, sebab saya dah belajar lebih awal. Apa yang kakak-kakak belajar di kelas, mereka ajarkan kepada saya.
Bila saya ke asrama penuh, keluarga saya tak pernah gagal tunjukkan betapa mereka bangga dengan saya. Bila di matrikulasi, saya kumpul duit syiling banyak-banyak supaya dapat hubungi kakak abang saya di telefon. Waktu itu terasa sunyinya tanpa mereka dekat dengan saya. Bila saya sambung pelajaran ke universiti, saya ambil masa hujung minggu melawat kakak-kakak saya di kampus universiti mereka: seorang di utara, seorang di pantai timur dan seorang lagi di kuala lumpur. Ketika saya kesempitan wang, salah seorang pasti tak berat hati berkongsi dengan saya. Bila mereka kesempitan saya pun tak berat hati berkongsi dengan mereka. Dan sesama kami cuma bayar semula seberapa yang kami mampu bayar.
Bila saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana, ayah dan kakak saya bergilir bayarkan yuran pelajaran dan beri wang belanja kepada saya. Hingga hari ini, saya terasa begitu terhutang budi dengan mereka, kerana wang daripada skim gaji yang saya terima setiap bulan adalah jasa dari ayah dan kakak saya. Saya sangat terhutang budi dengan mereka.
Ketika saya nyatakan hasrat mau berumahtangga, tak siapa pun persoalkan siapa bakal suami dan bagaimana orangnya. Ketika itu mereka tau saya terlalu baru berkawan dengan En. Qusyairi. Tapi mereka percayakan pilihan saya, kerana saya telah dididik dengan begitu baik oleh ayah dan arwah emak. Keluarga saya tau saya takkan buat pilihan yang salah. Pertama kali perkenalkan ayah dengan En. Qusyairi, ayah siap pakai baju lawa-lawa. Sebelum turun kereta, ayah sikat rambut supaya nampak kemas. Sedangkan yang akan beliau jumpa adalah bakal menantunya, seolah-olah ayah lebih gementar berbanding saya. Sedangkan sebelum En. Qusyairi, sudah lima kali ayah terima menantu. Haha.
Semakin kita dewasa, semakin kita akan faham pengorbanan keluarga untuk kita. Semakin kita akan hargai kehadiran mereka. Muda-muda dulu mungkin kita cuma rasa sayang pada keluarga, tapi setelah berkahwin dan membentuk keluarga sendiri, saya mula rasa perlu dan sangat risau kehilangan keluarga. Saya sangat sayangkan ayah, adik beradik dan anak-anak saudara saya. Sanggup berhabis wang dan masa untuk mereka. Tak fikir panjang untuk lakukan macam-macam perkara untuk mereka.
Begitu juga mereka dengan saya.
Jadi saudara-saudari pembaca di luar sana, nasihat saya cuma satu. Hargai keluarga. Jangan membelakangkan mereka. Nampak macam sedikit, tapi takkan ada orang lain yang sanggup berkorban untuk kita seperti keluarga telah berkorban selama ini. Saya telah merasa kehilangan emak tercinta. Membayangkan mereka yang masih ada sekarang takkan selamanya dapat bersama saya sudah cukup buat saya rasa sangat sedih. Ambil masa untuk tunjukkan kasih sayang anda. Esok mungkin terlambat. Lusa mungkin tak sempat.
Semoga entri kali ini bermanfaat :)
Dua-dua ini pun keluarga saya juga :D |
No comments:
Post a Comment