"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Lesen Parit Raja.

Assalamualaikum.



Ini screenshot daripada fb Harian Metro. Kejadian petang tadi. Kebetulan masa kejadian baru berlaku, rehan ada lalu di situ.

Sebelum tu kami sekeluarga dalam perjalanan balik rumah dari arah Ayer Hitam menuju Parit Raja. Sampai berdekatan Sabak Uni, ada beberapa kereta dari arah bertentangan yang high beam kami. Ingatkan ada polis kat depan. Tapi makin dekat zauji nampak ada kemalangan.

Ada hikmahnya rehan terlupa pakai cermin mana masa keluar rumah. Sebab rehan nampak samar-samar je mayat tu terbaring atas jalan. Bila rehan tak pakai cermin mata, memang rehan tak alert perkara lain selain benda yang rehan tengah tengok. Masa lalu tu rehan fokus pada mayat bertutup atas jalan. Sampaikan kereta yang dilanggar pun rehan tak nampak.

Kalau baca komen di fb Harian Metro tu, ramai yang persoalkan kenapa kereta tu uturn tiba-tiba. Ni rehan nak share. This is Parit Raja. Rakyat Parit Raja ni style memandu mereka berbeza. Sebab tu ada istilah terkenal di Batu Pahat iaitu; LESEN PARIT RAJA.

Rehan belajar memandu lepas rehan dah kerja di Parit Raja. Masa tu rehan masih tinggal dengan ayah di Batu Pahat. Setiap hari rehan kena drive ke Parit Raja, dalam keadaan rehan tak mahir bawa kereta dan jalanrayanya mencabar sebab tengah ada construction buat jalan dan letak divider sepanjang perjalanan dari rumah rehan ke tempat kerja. Sepanjang setahun lebih construstion tu tak siap-siap. Bila drive pergi kerja pagi jalannya lain, balik petang tu jalannya dah bertukar jadi lain. Itu pengalaman rehan awal-awal memandu dulu.

3 hari pertama rehan drive, ayah rehan follow dari belakang dengan kereta ayah sebab risau rehan drive sendirian ke Parit Raja. Lepas rehan belok masuk kawasan tempat kerja, ayah rehan pun uturn balik rumah. Macam tu sekali.

Apa bezanya LESEN PARIT RAJA?

Kat Parit Raja ni, peraturan jalanraya kurang diambil berat. Biasa akan jumpa kenderaan yang memotong kiri, bawa perlahan di lorong kanan, menyelit tiba-tiba. Semua ni perkara biasa? Well kat Parit Raja ada lebih daripada ini.

Di sini pemandu buat uturn di mana-mana sukahati mereka (macam dalam kejadian di atas). Rakan rehan sendiri pernah kemalangan sebab buat uturn di tempat tak sepatutnya.

Ramai penunggang motosikal yang tak pakai topi keledar menunggang menentang arus di bahu jalan. Biasanya mereka ni dari kampung sebelah nak ke kampung sebelah lagi tapi malas melintas jalan.

Selain tu, perkara biasa kenderaan tiba-tiba keluar atau masuk simpang dalam keadaan jalan sesak.

Tanpa divider, dan keadaan kawasan ni yang banyak sangat kampung (parit), perkara biasa bila kita tengah drive steady di lorong kanan tiba-tiba terpaksa brake sebab ada kenderaan berhenti di tengah jalan untuk masuk simpang.

Nak tambah lagi bahaya, jalan Batu Pahat - Kluang adalah laluan utama menghubungkan kedua-dua daerah yang merupakan kawasan perindustrian dan pertanian. Sangat banyak lori besar. Dan jalan yang sama juga berhubung terus ke Mersing. Jadi jalan ni sebenarnya satu jalan lurus yang sangat panjang yang menghubungkan 3 daerah.

Dan macam-macam lagi perangai pemandu di sini. Terutamanya sini adalah kawasan kampung dengan ramai pakcik-makcik bawa motor pergi balik surau atau hantar anak sekolah, ada beberapa IPTA jadi ramai student yang bawa motor kereta dengan jiwa muda mereka, tapi pengalaman kurang. Tambahan lagi ada lebih kurang 5-6 buah sekolah antara Sri Gading ke Ayer Hitam, jadi ramai pelajar sekolah melintas jalan dan menunggang basikal. Nak fahami kena alami sendiri.

Masa rehan masih sekolah rendah, rehan pernah tonton berita yang jalan Batu Pahat-Mersing ni termasuk 5 jalan paling bahaya di Malaysia. Masa rehan sekolah menengah, jalan ni berada di ranking kedua jalan paling bahaya di Malaysia. Wallahualam rankingnya hari ini.

Rehan sendiri sebagai bekas pensyarah di IPTA di Parit Raja ni, dan zauj Qusyairi juga tenaga pengajar di IPTA yang sama, masuk tahun ke-5 sebagai felo Pelajar Tanpa Asrama. Hampir setiap sem, setiap tahun ada pelajar IPTA kami yang meninggal dunia akibat kemalangan di jalan ini. Dah beberapa kali zauj Qusyairi tinggalkan rehan dan anak-anak malam-malam sebab mengiring pelajar yang kemalangan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, JB. Sesetengah yang diiringi itu dah tak bernyawa pun.

Antara kemalangan yang paling menggemparkan berlaku di jalan ini bila kereta dipandu seorang ibu dilanggar treler dan terbakar. Ibu tersebut rentung. Waktu orang ramai cuba padamkan kebakaran, baru disedari ada anak wanita tersebut di tempat duduk belakang. Salah seorang di tempat kejadian ialah Ketua Balai Polis sekitar sini. Rehan tak ingat balai mana. Beliau dalam perjalanan pulang dari mesyuarat. Menitis air mata beliau bila menceritakan keadaannya ketika cuba menyelamatkan nyawa ibu dan anak tersebut tapi gagal. Kejadian ini dah lama berlaku tapi masih disebut hingga ke hari ini.

Depan taman rehan ni ada uturn. Kat uturn ni perkara biasa berlaku kereta terbalik, kadang-kadang sampai berlaku kematian. Terbaru rehan sendiri nampak lori besar dan panjang terbalik di uturn tu.

Rehan harap lebih banyak aktiviti kesedaran keselamatan jalanraya dibuat di sini. Buat divider dari Parit Raja ke Ayer Hitam terus lagi baik. Tak apalah jalan jauh sikit untuk uturn. Asalkan tak membahayakan nyawa. Kuatkuasakan undang-undang ketat. Parit Raja membangun pesat disebabkan wujud beberapa IPTA dan industri di sini. Jadi orang kampung perlu suaikan diri dengan perubahan dan pertambahan bilangan penduduk, jangan terbawa-bawa cara memandu yang lama ketika kawasan ni masih tenang tak ramai penduduk. Cuma pendapat rehan.

Semoga kita semua dipelihara dari kemalangan dan kecelakaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...