"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Kasih Sayang Yang Dipinjamkan Terlalu Sekejap.

Assalamualaikum.



Comel gambar ni kan. Ni gambar masa pertama kali cat ni datang rumah rehan. Masa tu rehan sorang kat rumah malam-malam. Zauj Qusyairi pergi kedai bawak anak-anak. Masa rehan tengah packing-packing kat ekor mata rehan nampak kelibat putih. Rupanya cat ni.

Mulanya rehan ambil gambar daripada jauh. Ingatkan cat ni jenis takut dengan orang. Sebab masa tu dia kurus dan comot. Nampak macam kucing liar. Tapi makin lama cat ni datang makin dekat. Lastnya dia naik atas meja rehan dan duduk mengadap rehan macam dalam gambar.

Sejak tu cat datang rumah rehan hari-hari, duduk atas pangku. Kalau tak layan dia panjat sampai atas kepala rehan. Dengan arfa pun bukan main manja cat ni. Bergesek badan sampai arfa rimas nak menangis. Hahaha.

Rehan sayang sangat cat ni. Rasanya sejak kuning mati 2 tahun lepas, ni kucing pertama yang rehan sayang betul betul sayang. Rehan siap fikir kalau rehan pindah rumah pun rehan nak bawak cat ni sekali.

Tiap-tiap hari cat ni datang makan kat rumah rehan. Dalam freezer kami ada satu tupperware besar isi ikan dia saja.

Semalam kawan rehan datang rumah. Cat ni ada, tidur bawah meja. Lepas tu dia datang duduk atas riba rehan. Sebab kawan rehan datang, rehan tak sempat nak rebuskan ikan untuk cat. Bila kawan rehan balik maghrib tu cat dah keluar. Tak sempat rebus ikan.

Lepas solat maghrib rehan siap-siap nak keluar makan. Zauj Qusyairi keluar buang sampah. Lepas tu zauj masuk rumah kelam kabut panggil rehan. Bila zauj pandang je rehan, zauj sebut: sayang, cat dah mati kena langgar.

Ya Allah. Perasaan rehan masa tu.

Rehan keluar tengok cat terbaring kat tengah jalan, darah mengalir banyak sangat. Ada kesan seret. Bulu cat banyak bersepah sepah kat jalan, terbang bila angin tiup. Kebetulan ada sekumpulan student naik motor lalu, berhenti sebelah rehan dan cat. Student tu tanya: kucing akak ke? Rehan jawab: dia kucing bebas, tapi saya jaga.

Student tu tanya dah mati ke. Rehan sentuh leher cat, kepala cat. Dah mati dah. Student tu kata tadi diorang lalu cat tu masih gerak gerak. Rehan dah bingung bingung masa tu. Tak boleh nak fikir apa. Siapalah yang langgar cat sebesar itu, kat bawah lampu jalan, terseret, dan tak turun angkatkan ketepi pun.

Adik motor tu sorang turun angkatkan cat ke tepi. Rehan suruh dia pergi rumah rehan cuci tangan. Rehan ketuk rumah jiran bagitau tumpang letak cat sekejap sementara nak keluar.

Balik tu zauj tanam cat depan rumah kami.

Ya Allah perasaan rehan sampai saat ni. Tak tergambar. Tak dapat nak reply customer. Dengan rakan bisnes rehan pun terus terang rehan bagitau rehan tak ok. Diorang semua bagi ruang rehan bertenang. Terima kasih sangat.



Cat terbaik yang rehan kenal lepas kuning. Rehan dah bulat hati nak jaga dia, bawa tinggal dengan kami. Rupanya umurnya tak panjang. Cat tak pernah langsung cakar atau gigit anak-anak rehan. Kuku pun tak pernah keluar. Padahal arfa selalu hempap, tepuk kuat-kuat, tarik ekor, cubit.

Doakan Allah swt temukan rehan dengan baik seperti dia lepas ni.

7 Tahun Tanpa Emak.

Assalamualaikum.



Bulan ni genap 7 tahun mak rehan dijemput ilahi. Terasa baru kejap sebenarnya. Kebanyakan masa rehan rasa mak rehan masih ada cuma bukan di sini.

Rehan dengan mak tak rapat sangat. Tapi di hujung hayatnya rehan dengan kakak rehan eli yang diizinkan Allah swt berkesempatan jaga mak sepanjang di hospital. Masa tu rehan dalam semester kedua pengajian master.

Mak rehan memang dah lama sakit. Ada macam macam penyakit tapi yang paling teruk ialah diabetis. Bacaan gula dalam darah mak pernah mencecah angka 34; sampai doktor sendiri terkejut macam mana mak masih boleh bangun dan berjalan.

Lepas tamat matrikulasi, rehan diizinkan Allah swt menunaikan umrah dengan mak, abang long dan isterinya. Masa tu mak dah sakit agak teruk tapi masih boleh berjalan dan uruskan diri. Kat tapak kaki mak ada luka sebenar 5cm yang asalnya cuma calar entah mak terpijak apa. Tapi disebabkan mak diabetis teruk, luka calar tu susah nak sembuh sampai akhirnya merebak jadi sebenar tu.

Urusan menunaikan umrah Alhamdulillah mudah. Tapi bila mak terbatal wudhu dan perlu ambil wudhu semula agak leceh. Sebab luka kaki mak tak boleh basah. Setiap kali basah, kena dress semula dengan gauss dan bandage baru.

Sejak tu mak kerap keluar masuk wad. Sampaikan berita mak warded tu dah jadi perkara biasa. Ayah sampai pesan tak perlu balik bila mak warded, sebab biasanya kami tak sempat sampai rumah mak dah discaj.

Hari tu rehan macam biasa di kolej. Kakak rehan telefon bagitau mak masuk wad. Rehan fikir-fikir tak nak balik dulu sebab final exam dah dekat, assignment dan projek banyak yang due minggu tu. Tapi rehan telefon jugak ayah, nak bertanya khabar.

Masa telefon tu rehan perasan perkara pelik pertama: suara ayah lain macam seriusnya. Sampai rehan takut nak tanya lebih-lebih. Perkara pelik kedua: ayah tak cakap tak payah balik macam biasanya ayah cakap setiap kali mak warded. Ayah suruh rehan pakat-pakat dengan kakak rehan untuk balik kampung sama-sama. Tak jauh pun, dari JB ke BP cuma sejam lebih je.

Bila dengar ayah kata macam tu dalam hati rehan fikir, ok ayah suruh balik jugak. Rehan pun tunggu kakak rehan datang ambil rehan kat kolej, balik sama-sama. Dalam perjalanan tu kami singgah makan dulu. Macam biasa.

Sampai kat rumah tengok kereta ayah tak ada. Kat cermin kereta lagi satu ada nota. Kami pun baca: Eza, kalau dah sampai rumah tolong telefon Mak Ani. Mak Onn tenat.

Bayangkan perasaan masa tu. Mak Ani ni jururawat yang bertugas jaga pesakit diabetis. Dah macam keluarga kami sendiri. Mak Onn tu panggilan mak rehan.

Laju-laju kami ke hospital. Bila sampai kami tengok mak penuh wayar berselirat. Baju tak ada, cuma tutup dengan selimut. Katanya mak meracau-racau jadi doktor terpaksa bagi penenang supaya mak tidur.

Dari situ bermula huru hara dalam hidup rehan. Perasaan bercampur baur. Emosi terlampau. Bila doktor bagi mak tidur, sepatutnya mak sedar semula lepas satu jangka masa. Tapi mak rehan tak bangun-bangun.

Bila mak tak bangun, doktor pindahkan mak ke ICU. Selama 12 hari mak kat ICU, rehan tak sanggup nak balik rumah. Siang ramai yang datang melawat jadi rehan balik rumah berehat. Bila malam rehan tidur kat kaki lima dan kerusi menunggu ruang legar depan ICU.

Masa tu final exam master semester kedua dah bermula. Sem tu rehan ambil 4 paper. Entah apa yang rehan jawab dalam 3 paper pertama pun rehan taktau. Asal jawab je. Dengan letih berulang alik selang hari dari kolej ke rumah ke hospital. Masa tu mak rehan mula sedar.

Bila mak sedar, doktor pindahkan mak ke wad biasa. Rezeki mak, lepas 5 hari berpanas kat wad komunal mak dapat bilik di kelas pertama. Mak tak boleh bersuara, tak boleh bergerak. Tapi masih boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Rehan dan kakak kerap temankan mak malam-malam.

Lepas seminggu, rehan tinggal 1 paper terakhir sem tu. Jadi rehan fikir nak fokus pada exam hujung minggu tu. Examnya hari rabu. Hari sabtu ahad tu rehan tak ke hospital. Banyak kali kakak telefon nak bawa rehan ke hospital, tapi rehan kata weekend ni je last rehan nak study. Lagipun sabtu ahad ramai orang melawat mak. Abang kakak pun ada.

Rupanya tu peluang terakhir rehan nak bertemu dengan mak. Ahad malam tu kami gerak balik JB. Rehan balik kolej. Isnin petang waktu rehan kat library kakak rehan call, katanya: Yan, mak dah takde.

...
...
...

Jadi minggu ni genap 7 tahun sejak peristiwa tu. Terasa masih baru.

Semoga Allah swt kurniakan Jannah untuk mak.

Kawan-kawan Terbaik!

Assalamualaikum.

Semalam hari yang sangat seronok. Rehan buat makan-makan untuk kawan-kawan terbaik rehan. Adalah 4 orang tetamu je. Tapi bukan main-main tau, ni 4 orang terbaik yang beri pengaruh besar dalam dunia pekerjaan rehan suatu masa dulu.

Masa kawan-kawan rehan tanya ni makan-makan sempena apa, rehan kata majlis ni namanya majlis makan-makan santai sambil rehat-rehat. Haha. Sebab rehan tau, 4 orang kawan rehan tu tersangat berdedikasi bekerja. Sampaikan diri sendiri terabai. Dalam masa sama sebenarnya rehan memang dah lama nak ajak kawan yang seorang ni datang ke rumah. Cuma dia seorang yang belum pernah datang rumah rehan. Dia lebih kepada kakak kepada rehan. Rehan nak sangat jumpa sebelum kakak ni bersara tak lama lagi.

Rehan jemput kawan-kawan rehan datang pukul 3.30 petang lepas habis waktu kerja. Dalam pukul 1 tengahari rehan tak masak lagi. Arfa asyik nak memerap je. Macam mana nak masak. Huhu. Lebih kurang pukul 1:30 baru rehan ke dapur.

Menu simple je. Rehan masak spagetti bolognaise daging dengan sardin roll je. Yang nak makan cuma 6 orang termasuk kami suami isteri, tapi rehan masak macam ada kenduri. Haha.

Alhamdulillah dalam jam 3 tu dah siap masak semua. Siap kemas dapur dan ruang tamu sekali.

Dalam jam 4 tetamu pertama sampai. Aiza ni kawan rehan sejak rehan buat master dulu. Kami sama-sama satu makmal laser. Terperuk dalam makmal laser sangat stress tau. Tak ada tingkap boleh tengok luar. Kalau kat workstation rehan lagi stress, lagi gelap, kepam. Kebetulan masa tu mak rehan baru meninggal dunia. Rehan perlu environment baru. So rehan pun kawan dengan aiza dan kawan aiza, piha. Bila rehan dah mula kerja, kebetulan aiza pun dapat kerja kat tempat sama tapi sementara. Sekarang bila rehan dah berhenti kerja, aiza pulak masuk gantikan tempat rehan.

Seterusnya hana sampai tak lama lepas aiza sampai. Kalau aiza junior setahun daripada rehan, hana junior 2 tahun di utm jugak. Tapi hana jurusan matematik. Rehan dengan aiza jurusan fizik. Rehan kenal hana bila hana masuk kerja kat jabatan sama. Tapi masa tu tak rapat sangat. Aiza yang kenalkan kami sampai rapat.

Sekarang ni aiza dengan hana kalau datang rumah rehan takyah rehan bangun bukak pintu pun. Diorang datang terus masuk je sendiri. Anak-anak rehan pun dah kenal diorang sampai boleh duduk berpangku (bukan perkara biasa bagi kautsar dan arfa).

Akhir sekali kakak-kakak kesayangan rehan sampai. Kakak-kakak yang sangat rehan hormat dari segi etika kerja, komitmen, dedikasi dan budi bahasa. Kak ita, mungkin beza dalam 5-6 tahun je daripada rehan. Dan kak saffiah, yang bakal bersara hujung bulan ni. Memang bakal bersara tapi orangnya nampak muda sangat. Very easy going dan positif.

Entah macam mana 5 individu daripada generasi berbeza duduk sebumbung di tempat kerja dan jadi rapat sesama kami macam adik beradik. To be honest, rehan anggap mereka ni macam keluarga rehan sendiri yang rehan tak pernah ada.



Ni je gambar yang ada. Itu pun sebab hana yang teringat nak snap. Rehan macam biasa la, jarang ingat kat kamera. Lagi-lagi bila dalam situasi yang istimewa macam ni, rehan selalu terlalu absorb dengan suasana sampai tak ingat perkara lain. Hehe.

Sepanjang petang tu kami ni kerja gelak je. Semua bercakap sampai taktau nak dengar yang mana satu. Haha. Alhamdulillah zauji tersayang pun sama tempat kerja dan kenal baik dengan semua kawan rehan, langsung tak kekok nak borak bersama. Cumanya lewat petang tu zauji ada kerja luar sikit jadi beliau terpaksa minta diri.

Rehan seronok sangat sebenarnya. Dapat jumpa kawan-kawan terbaik rehan. Rehan tak pasti akan datang ada kesempatan lagi nak berkumpul macam ni. Sebab tu rehan usahakan juga untuk buat mini gath ni. Kak saffiah puasa semalam tau, tapi pagi tu sebab rehan jemput datang kak saffiah batalkan puasa.

Rehan doa bermohon pada Allah swt kurniakanlah kesihatan dan kebahagiaan kepada kawan-kawan terbaik rehan. Mereka ni kawan yang berintegriti, boleh diharapkan dan sangat prihatin. Dah banyak sangat rehan terhutang budi dengan diorang, Allah swt je yang mampu balas.

Rehan sayang kawan-kawan rehan.

Perkara Paling Sukar Sebagai Isteri.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah kami dah bersama lebih 4 tahun. Terus terang rehan mengaku, kami baru je masuk fasa selesa bersama. Dah 4 tahun barulah rasa agak kenal antara satu sama lain. Agak je. Sebab banyak lagi nak berkenalan antara kami suami isteri.

Walaupun rehan dah setahun lebih berhenti kerja, tapi cuma sebulan dua ni je rehan betul betul macam suri rumah. Hihi. Sebelum ni rehan ambil masa nak biasakan diri. Sejak sebulan dua ni rehan dah ada rutin yang agak selesa. Bangun pagi masak sarapan, masak lunch dan masak dinner. Zauj Qusyairi suka makan masakan fresh. Kalau panas-panaskan lauk tu beliau makan je, cuma lebih suka makan yang fresh. Lagipun kalau rehan masak, banyak ke sikit ke, mesti habis licin. Ajaib kalau rehan masak beliau makan tak habis. Hehe.

Itu perkara yang menarik. Sekarang bab yang tak menarik pulak.

Dalam sebulan ada beberapa kali zauj Qusyairi perlu outstation. Biasanya balik hari. Keluar rumah lepas subuh, paling lewat dalam jam 11-12 tengah malam sampai rumah semula. Pada sesetengah orang mungkin perkara harian biasa suami kerja begitu.

Tapi pada rehan jadual macam tu bukan perkara biasa. Jadual biasa rehan, pagi makan sarapan bersama zauj. Tengahari makan bersama zauj. Petang zauj balik rumah lepas asar. Malam makan bersama zauj lagi. Sehari 3 kali makan bersama zauj.

Bila zauj outstation dan rehan sendirian kat rumah dengan anak-anak, rehan rasa tak best. Rasa tak seronok. Hati rehan tak gembira. Rehan tak suka, tak biasa, tak sanggup berjauhan dengan zauj Qusyairi. Walaupun kami ni bukan jenis berkepit kat rumah, tapi kami sentiasa bersama. Dan rehan tak suka bila berjauhan.

Setiap kali terpaksa berjauhan, rehan tak putus doa supaya Allah swt pelihara keselamatan dan kesejahteraan zauj. Pulangkan beliau ke rumah dalam keadaan sihat dan gembira untuk bersama rehan dan anak-anak. Jauhkan beliau dari malapetaka dan bencana, serta perkara perkara yang memudaratkan. Risaunya, Ya Allah, setiap kali berjauhan. Lagi lagi kalau beliau kerja jauh.



Cinta hati rehan. Ni gambar semalam zauj Qusyairi ambil cuti sehari semata mata nak teman rehan jalan jalan kat pasar rabu. Sayang zauj banyak banyak.

Nah rehan copy paste pesanan daripada UZAR:

Kepada yang bernama isteri, kalian bergelar SOLEHAH,
Jika cintamu kepada suami berpada-pada,
Agar jika terpisahnya kalian, tidak 'membunuh' kewarasan minda,
Mencedera teruk perasaan dan emosi,
Hingga menjejaskan ibadah dan taqwamu dan cinta suami,
Kerana perpisahan itu pasti, walau sementara mungkin,
Salah seorang dari kalian mungkin lebih dahulu menemui ilahi, lalu terpisah..
Hatta jika kalian menemui ilahi bersama, ruhmu akan bergerak berasingan..terpisah,
Jika ditakdirkan kalian ke syurga..
Tidak diketahui berapa tempoh sebelum pertemuan di syurga itu, terpisah,
Kerana masing-masing pasti ada urusan perlu diselesaikan,
Bagaimana pula jika salah seorang masih belum di Syurga..?
Nauzubillah...
Justeru, wahai isteri..cintailah suamimu selepas Allah & RasulNya,
Pastinya Allah denganmu tiada terpisah,
Dengan itu, perpisahan dengan suami mampu ditanggung,
Rindu mampu ditangani,
Ujian dan cabaran cinta, emosi & perasaan, merapatkanmu kepada Allah
Bukan menjauhkan...lalu jadilah kalian ISTERI SOLEHAH.
Yang cintai suami dan dicintai, dari jenis CINTA AKHIRAT bukan cinta DUNIA.
Ingatan sama juga untuk suami, juga terhadap anak-anakmu.

"Ya Allah, peliharalah rumahtangga kami. Jauhkan daripada godaan dan hasutan syaitan. Jauhkan kami daripada dosa dan maksiat. Kurniakan keberkatan, redha dan nikmat keampunan Mu dalam rumahtangga kami. Dan jadikan kami hamba yang bersyukur. Amin."

Alhamdulillah: Ulangtahun Ke-4 Noraihan Qusyairi.

Assalamualaikum.

Closing tak closing, zauj Qusyairi kata nak pergi dinner sempena ulangtahun ke 4 kami bernikah. Apa lagi, rehan dan dinner berpisah tiada. Kita makan dulu!



Tahun ni beria sikit sambut anniversary. Siap pakai lawa-lawa, makan pun kat kedai lawa. Biasanya buat taktau je. Hahaha.

Kami makan kat Kelab Kopi. Tak ingat nama jalannya, tapi kat belakang Jalan Sultanah. Kedai lawa, makanan sedap, air sedap, harga berpatutan. Cuma portion kecik sikit. Tapi ok je sebab harga murah. Kami order iced hazelnut coffee, hazelnut chocolate frappe, iced milo, spaghetti bolognaise, grilled beef patty, dan wholemeal butter toast. Jumlahnya RM40. Ok la kan.

Balik tu bawak Kautsar dan Arfa main kat Tasek Y. Meriah betul malam minggu kat situ. Sebab esok Kautsar tak sekolah, jadi bagilah main sampai jam 9.30 malam. Kesian dah lama anak-anak tak dapat main outdoor sebab cuaca panas.

Alhamdulillah dah 4 tahun kami bernikah. Banyak naik turun dalam hubungan kami suami isteri. Biasalah tu kan. Yang penting sama-sama saling perbaiki diri.

Tak banyak rehan nak tulis. Mungkin sebab kali ni special sikit, rehan simpan dalam hati. Sejak jadi surirumah dan berkhidmat 100% untuk suami dan anak-anak, rehan rasa lebih sentimental. Banyak yang tak terucap di lidah, tak terluah di blog. Biarlah rehan simpan perasaan ini 😊

Status fb kami hari ni?





Tak romantik langsung rehan. Haha. Rehan rasa kitorg suami isteri romantik kat fb ada la dalam sebulan dua sebelum kahwin dan 3-4 bulan lepas kahwin je. Lepas tu terbang segala romantik kami. Sebenarnya romantik kami berdua sembunyi-sembunyi. Biarlah jadi rahsia kami. Kat fb buat apa nak tunjuk? Segan je. Hahah.

Tengok kat video yang fb buatkan untuk kami sempena anniversary ni:
Kami berkenalan di fb bulan Mei 2011. Masa ni rehan approve je tapi tak kawan pun dengan zauj Qusyairi. Profile dia pun rehan tak tengok. Kahkahkah.
Mula kawan bertegur sapa kat fb kalau tak silap hujung bulan Julai 2011.
Hujung Ogos 2011 tu pertama kali berjumpa (walaupun ada terserempak kat office hehe).
Merisik - Oktober 2011
Bertunang - Disember 2011
Bernikah - Mac 2012

Pantas! Hahahaha.

Apa pun.
Alhamdulillah untuk 4 tahun pertama bersama.
InshaAllah untuk selamanya hingga ke jannah.

Sayang zauj ketat ketat!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...