"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

7 Tahun Tanpa Emak.

Assalamualaikum.



Bulan ni genap 7 tahun mak rehan dijemput ilahi. Terasa baru kejap sebenarnya. Kebanyakan masa rehan rasa mak rehan masih ada cuma bukan di sini.

Rehan dengan mak tak rapat sangat. Tapi di hujung hayatnya rehan dengan kakak rehan eli yang diizinkan Allah swt berkesempatan jaga mak sepanjang di hospital. Masa tu rehan dalam semester kedua pengajian master.

Mak rehan memang dah lama sakit. Ada macam macam penyakit tapi yang paling teruk ialah diabetis. Bacaan gula dalam darah mak pernah mencecah angka 34; sampai doktor sendiri terkejut macam mana mak masih boleh bangun dan berjalan.

Lepas tamat matrikulasi, rehan diizinkan Allah swt menunaikan umrah dengan mak, abang long dan isterinya. Masa tu mak dah sakit agak teruk tapi masih boleh berjalan dan uruskan diri. Kat tapak kaki mak ada luka sebenar 5cm yang asalnya cuma calar entah mak terpijak apa. Tapi disebabkan mak diabetis teruk, luka calar tu susah nak sembuh sampai akhirnya merebak jadi sebenar tu.

Urusan menunaikan umrah Alhamdulillah mudah. Tapi bila mak terbatal wudhu dan perlu ambil wudhu semula agak leceh. Sebab luka kaki mak tak boleh basah. Setiap kali basah, kena dress semula dengan gauss dan bandage baru.

Sejak tu mak kerap keluar masuk wad. Sampaikan berita mak warded tu dah jadi perkara biasa. Ayah sampai pesan tak perlu balik bila mak warded, sebab biasanya kami tak sempat sampai rumah mak dah discaj.

Hari tu rehan macam biasa di kolej. Kakak rehan telefon bagitau mak masuk wad. Rehan fikir-fikir tak nak balik dulu sebab final exam dah dekat, assignment dan projek banyak yang due minggu tu. Tapi rehan telefon jugak ayah, nak bertanya khabar.

Masa telefon tu rehan perasan perkara pelik pertama: suara ayah lain macam seriusnya. Sampai rehan takut nak tanya lebih-lebih. Perkara pelik kedua: ayah tak cakap tak payah balik macam biasanya ayah cakap setiap kali mak warded. Ayah suruh rehan pakat-pakat dengan kakak rehan untuk balik kampung sama-sama. Tak jauh pun, dari JB ke BP cuma sejam lebih je.

Bila dengar ayah kata macam tu dalam hati rehan fikir, ok ayah suruh balik jugak. Rehan pun tunggu kakak rehan datang ambil rehan kat kolej, balik sama-sama. Dalam perjalanan tu kami singgah makan dulu. Macam biasa.

Sampai kat rumah tengok kereta ayah tak ada. Kat cermin kereta lagi satu ada nota. Kami pun baca: Eza, kalau dah sampai rumah tolong telefon Mak Ani. Mak Onn tenat.

Bayangkan perasaan masa tu. Mak Ani ni jururawat yang bertugas jaga pesakit diabetis. Dah macam keluarga kami sendiri. Mak Onn tu panggilan mak rehan.

Laju-laju kami ke hospital. Bila sampai kami tengok mak penuh wayar berselirat. Baju tak ada, cuma tutup dengan selimut. Katanya mak meracau-racau jadi doktor terpaksa bagi penenang supaya mak tidur.

Dari situ bermula huru hara dalam hidup rehan. Perasaan bercampur baur. Emosi terlampau. Bila doktor bagi mak tidur, sepatutnya mak sedar semula lepas satu jangka masa. Tapi mak rehan tak bangun-bangun.

Bila mak tak bangun, doktor pindahkan mak ke ICU. Selama 12 hari mak kat ICU, rehan tak sanggup nak balik rumah. Siang ramai yang datang melawat jadi rehan balik rumah berehat. Bila malam rehan tidur kat kaki lima dan kerusi menunggu ruang legar depan ICU.

Masa tu final exam master semester kedua dah bermula. Sem tu rehan ambil 4 paper. Entah apa yang rehan jawab dalam 3 paper pertama pun rehan taktau. Asal jawab je. Dengan letih berulang alik selang hari dari kolej ke rumah ke hospital. Masa tu mak rehan mula sedar.

Bila mak sedar, doktor pindahkan mak ke wad biasa. Rezeki mak, lepas 5 hari berpanas kat wad komunal mak dapat bilik di kelas pertama. Mak tak boleh bersuara, tak boleh bergerak. Tapi masih boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Rehan dan kakak kerap temankan mak malam-malam.

Lepas seminggu, rehan tinggal 1 paper terakhir sem tu. Jadi rehan fikir nak fokus pada exam hujung minggu tu. Examnya hari rabu. Hari sabtu ahad tu rehan tak ke hospital. Banyak kali kakak telefon nak bawa rehan ke hospital, tapi rehan kata weekend ni je last rehan nak study. Lagipun sabtu ahad ramai orang melawat mak. Abang kakak pun ada.

Rupanya tu peluang terakhir rehan nak bertemu dengan mak. Ahad malam tu kami gerak balik JB. Rehan balik kolej. Isnin petang waktu rehan kat library kakak rehan call, katanya: Yan, mak dah takde.

...
...
...

Jadi minggu ni genap 7 tahun sejak peristiwa tu. Terasa masih baru.

Semoga Allah swt kurniakan Jannah untuk mak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...