"Ya Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; kami berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan kami berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Followers

Hukum Doktor Lelaki Merawat Wanita Hamil.

Assalamualaikum.

Di bawah ini satu artikel yang saya salin dari facebook. Tak pasti siapa penulisnya, jadi tak dapatlah saya kreditkan artikel ini kepada sesiapa. Sebab blog ini adalah blog kesihatan dan banyak juga berkait dengan ibu-ibu hamil dan menyusukan anak, saya kira releven jika dikongsikan untuk peringatan bersama. Kalau tak berkaitan pun, semua ilmu releven untuk dikongsikan, betul kan? Hehe. Jadi semua muslimin dan muslimah di luar sana yang membaca entri ini, harap dapat sebarkan ilmu ini untuk kita sama-sama pelihara maruah dan martabat muslimah-muslimah kita yang bergelar isteri. Sama-sama kita pelihara kesucian agama Islam dan kesucian rohani pengamalnya. Sebab saya sendiri sebagai seorang wanita Islam, mau dijaga bukan setakat oleh suami dan ayah saja, tapi oleh semua saudara seagama. InshaAllah :)

Gambar ihsan Google.

Subject : Perhatian Muslimah

CC : Ibu Bapa

BCC : Kaum lelaki

Marcapada ini, mungkin ramai yang sedar bahawa doktor lelaki yang banyak melaksanankan tugas pemerikasaan hinggalah kepada tugas menyambut kelahiran untuk para ibu.

Barangkali kerana fenomena ini sudah terlalu biasa, masyaratkat mengambil ringan mengenai hukum agama. Hanya segelintir yang bersuara untuk menegakkan hukum agama dan mengetahui sejauh manakah tahap darurat yang mengharuskan doktor lelaki mengambil alih tugas itu.

Soalan:

Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak, keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki. Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan saya apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut dan sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya bukan dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita ataupun bidan?
Keluarga Muslim, KL

Jawapan:

Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak.

Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita yang normal.

Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut. Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.

Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah ‘darurat’ ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.

Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. rasa kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.

Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.

Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi tersebut disebabkan profesi dan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.

Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka. Wallahu A’lam…

Wassalam.

Update: Saya jumpa artikel ini sebentar tadi. Elok rasanya dikongsi di sini. Selari dengan kandungan entri. Sila baca di halaman Harian Islam.



Kenali Kanser Payudara.

Assalamualaikum.

Gambar ihsan Google. Graphical content. Tujuan gambar ini untuk kesedaran dan peringatan bersama saja.
Kanser payudara adalah penyebab utama kematian di kalangan kaum wanita akibat kanser di Malaysia. Penyakit ini berlaku bila sel kanser (malignan) merebak dalam sel-sel payudara. Sel kanser ini boleh merebak di mana-mana bahagian payudara termasuk lobus yang menghasilkan susu dan duktus yang menghantar susu ke puting. Kanser payudara invasif adalah istilah yang digunakan merujuk bila sel-sel kanser merebak ke tisu-tisu sekeliling payudara.

Perebakan
Kanser payudara merebak melalui cara berikut:
  • Kanser tumbuh dan membesar begitu cepat dan menyerang kawasan setempat. Ia juga 
  • akan menyerang kulit dan dinding otot dada. 
  • Kanser payu dara merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan tersebar ke 
  • seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang (tulang belakang, tulang pinggang, 
  • tengkorak dan tulang dada), hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovari. 
  • Adalah dianggarkan jika kanser payu dara berukuran 1.6 sm., ia mungkin telah berada 
  • dalam payu dara selama sekurang-kurangnya 2 tahun. Pada waktu ini, sel kanser 
  • mungkin telah masuk ke dalam saluran darah ataupun sistem limfatik dan seterusnya 
  • merebak ke seluruh badan. 
  • Oleh itu, walaupun ketumbuhan kanser payu dara dirasakan tertumpu pada payu dara 
  • sahaja, tetapi dianggarkan lebih 35% darinya mungkin telahpun merebak atau mengalami 
  • metastasis. 

Faktor-faktor Risiko
Terdapat tiga jenis faktor risiko iaitu faktor risiko tinggi, faktor risiko sederhana dan faktor risiko rendah. Wanita mempunyai risiko lebih tinggi diserang kanser payudara. Namun ada beberapa sebab lain yang meningkatkan risiko anda diserang kanser ini.

Faktor risiko tinggi:
  1. Umur: wanita berumur lebih mudah diserang kanser payudara.
  2. Sejarah keluarga: peranan genetik dalam risiko ditimpa penyakit ini masoh belum dapat difahami, namun statistik menunjukkan wanita yang mempunyai sejarah keluarga ditimpa kanser payudara lebih tinggi risiko diserang penyakit sama.
  3. Sejarah mengidap kanser - pernah menghidap kanser payudara sebelum ini. Ini mungkin merupakan faktor yang penting dalam pembentukan kanser payudara. 
  4. Pernah menghidapi penyakit payudara benigna proliferatif 
  5. Wanita yang berasal dari Amerika Utara/Eropah Utara; insidens dan kematian disebabkan kanser payudara adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara lain seperti Jepun.
Faktor risiko sederhana:
  1. Sejarah haid: kanser payudara lebih mudah menyerang wanita yang datang haid awal dan putus haid lewat.
  2. Sejarah kelahiran: risiko lebih tinggi bagi wanita yang tidak mempunyai anak atau melahirkan anak pertama pada usia lewat.
  3. Estrogen eksogenus: wanita yang pernah mengambil estrogen dalam bentuk pil perancang keluarga ataupun terapi penggantian estrogen lebih berisiko untuk memperolehi penyakit ini. Ini kerana mereka terdedah kepada aras estrogen yang tinggi 
  4. Pernah mendapat kanser ovari atau rahim. 
  5. Alkohol: terdapat kajian yang telah menunjukkan bahawa ada kaitannya di antara pengambilan alkohol dengan risiko pembentukan kanser payudara. 
Faktor risiko rendah:
Diet yang tinggi lemak juga mempunyai hubungkait dengan risiko kanser payudara. Kaitan ini telah 
dikenalpasti berdasarkan pelbagai kanser payudara yang menyerang masyarakat yang 
mengamalkan diet yang berbeza. Walau bagaimanapun, masih tiada satu bukti yang kukuh untuk 
menyokong teori ini dan kajian masih lagi dijalankan untuk mengesahkan perkara ini.

Tanda-tanda dan Gejala
  • Ketumbuhan yang terjadi pada pesakit merupakan perubahan utama yang dialami oleh pesakit. Ketumbuhan ini biasanya tidak sakit dan terdapat pada sebelah payudara sahaja. Ianya keras dan pejal dan memiliki tepian yang tidak licin. 
  • Lelehan yang keluar dari puting kadangkala mengandungi darah dan berair dan datang secara spontan tanpa sebarang rangsangan. 
  • Apabila kanser telah melarat dan memasuki peringkat yang lebih berbahaya, payudara dan puting akan mengalami perubahan bentuk. Akan terbentuk lekukan pada kulit payudara dan teksturnya kelihatan dan dirasai seperti kulit buah oren. Bentuk dan saiz payudara juga akan berubah.

Ujian Mengesan Kanser Payudara

Mamografi
Mamografi biasanya dilakukan untuk menyokong pemeriksaan fizikal kerana proses ini mampu 
mengesan perubahan pada sel dan tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan melalui 
pemeriksaan fizikal yang menggunakan tangan. Mamografi adalah X-ray yang menghasilkan imej 
payudara pada filem. Imej yang terhasil ini dipanggil mamogram. Jika ada kawasan pada 
mamogram yang mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan. 

Sel kanser dikesan melalui mamografi. Gambar ihsan Google.

Ultrasonografi
Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat 
ketumbuhan tersebut sama ada pepejal atau berisi bendalir. 

Biopsi
Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu-tisu kanser. Sedikit sampel tisu payudara diambil 
dan diperiksa menggunakan mikroskop. Terdapat dua jenis biopsi: 
  • Biopsi aspirasi - menggunakan jarum untuk mengambil sebahagian kecil tisu daripada ketumbuhan di payudara. 
  • Biopsi pembedahan - di mana ketumbuhan atau kawasan yang disyaki dipotong dan dikeluarkan untuk diperiksa melalui mikroskop. 

Begitu serba sedikit tentang kanser payudara, pembunuh nombor satu wanita di Malaysia. Dalam entri berikutnya saya akan kongsikan beberapa cara mencegah penyakit ini. InshaAllah kita sama-sama usahakan, berikhtiar untuk mengelak daripada diserang penyakit yang membunuh ini.


Bekerja dan Berehat Perlu Seimbang.

Assalamualaikum.

En. Qusyairi dan saya sama-sama bekerja sepenuh masa di sebuah institusi pengajian tinggi. Antara kami berdua, beban kerja sama banyak dan sama berat. Cuma En. Qusyairi lebih banyak terlibat dengan program dan aktiviti, manakala saya pula banyak terlibat dengan pengurusan dan hal-hal jabatan. Tetap pening kepala dan stress kami kongsi sama-sama. Hehe.

Lumrah kerja kami, ada masanya perlu ke mesyuarat atau bengkel di luar kawasan. Hujung minggu lepas, kami telah sama-sama terlibat dengan bengkel di sebuah Golf Club di tepi pantai. Cuaca sangat panas, dan kami dah terbiasa hujung minggu adalah waktu rehat bersama keluarga. Bila perlu bekerja begitu, terasa letih.

Untuk menghilangkan stress dan letih itu, sebaik habis bengkel kami suami isteri terus memecut ke Kuala Lumpur membeli-belah barang-barang yang sudah lama kami mau beli. Banyak berhabis pada pakaian dan beberapa keperluan lain. Walaupun badan letih, tapi stress memang hilang.

Pointnya bukan nak kata kena bershopping baru stress kurang, tapi perlunya keseimbangan antara bekerja dan berehat. Bayangkan kami suami-isteri bekerja sepenuh masa, dan kerja kami bukan habis setakat waktu pejabat. Sentiasa ada kerja yang perlu dibawa balik rumah. Dalam masa sama kami berdua menjalankan perniagaan di internet. Dan hujung-hujung minggu kami berdua masih sediakan masa untuk pulang melawat orang tua, satu kampung di selatan, satu kampung lagi di utara.

Perbelanjaan rumah kami lebih daripada cukup, malah mampu sangat berkongsi rezeki ini dengan Si Kuning, ayah dan emak ayah serta sekali sekala belanja adik beradik makan sedap-sedap atau beli barang keperluan. Tapi kami tetap berniaga sampingan kerana kepuasan hati yang kami dapat daripada perniagaan itu sendiri. Tekanan kerja dan tekanan perniagaan tak perlu cerita. Letihnya membahagikan masa antara kerja sepenuh masa, kerja sampingan, keluarga dan privasi kami sendiri memang tak terhingga.

Tapi kami cari jalan untuk bergembira. Berehat dan bergembira :)

Sentiasa ada masa untuk kami bersiar-siar atau bercuti. Bila-bila tergerak hati terasa letih dan perlu berehat, kami akan pecut ke mana-mana. Kadang-kadang kami sekadar berjalan pusing-pusing bandar lihat lampu malam-malam. Kadang-kadang pergi makan di restoran istimewa walaupun tanpa sebab yang istimewa. Kadang-kadang kami menonton wayang. Ada saja. Macam hujung minggu lepas, letih berbengkel kami ganti dengan membeli-belah. Badan memang penat, tapi yang penting hati tenang dan gembira.

Sebab itu bekerja dan berehat perlu seimbang. Jangan kerja gila-gila, nanti betul-betul gila jadinya. Haha. Berehat berlebihan pun sia-sia, tak menikmati hidup sepenuhnya. Yang penting, jangan malas dan jangan tertekan. Sederhana saja dalam segalanya. InshaAllah rezeki cukup untuk kita kongsi dan zakatkan :)

Kat bawah ni gambar buah hati saya, En. Qusyairi hujung minggu lepas. Gambar saya tak ada, En. Qusyairi taknak kongsi. Beliau nak tengok seorang diri. Cemburu kalau orang lain tatap gambar isterinya. Poyolah. Haha.

Pening nak makan mana dulu.

Gaya mesti lebih. Kena tak kena belakang kira.


Entri Terakhir Hari Ini.

Assalamualaikum.

Sebelum saya masuk tidur, nak review sikit perjalanan hari ini. Bangun awal pagi ke klinik. Dah lebih tiga hari saya demam selesema. Alhamdulillah Vitamin C 100mg Chewable sampai semalam. Dapat saja terus buka kotak dan makan tiga biji. Kurang selsema serta merta. Alhamdulillah.

Pagi tadi ke klinik dapat ubat selesema. Tak berapa makan pun sebab ambil Vitamin C Chewable lagi sedap. Hehe. Kemudian terus dengan operasi mengepos barang. Alhamdulillah selesai semuanya, stok Vitamin C pun terus susut tinggal sikit. Sampai di pejabat, semua stok yang saya baru order belum sampai ke tangan saya lagi pun habis langsai terjual tak sampai sejam. Tak perlu cerita panjang, tak perlu cakap banyak. Nampaknya semua orang dah tau kebaikan vitamin kesihatan Shaklee berbanding jenama lain. Alhamdulillah sekali lagi :)

Bayaran pelanggan mencurah masuk, syukur Alhamdulillah sangat. Semua pelanggan tak ada masalah buat bayaran, sangat baik pelanggan-pelanggan saya. Dompet kempis jadi tebal sekejap saja. Dan order terus masuk.

Hari ini hari yang produktif.

Bersyukur sangat sebab saya masih diberi kekuatan dan kudrat untuk lakukan semua ini. Alhamdulillah suami sentiasa bantu. Rezeki masuk mencurah-curah, bukan untuk saya seorang tapi untuk dikongsi dengan orang lain, paling tidak pun untuk dikongsi dengan kucing busuk kesayangan saya, Si Kuning. Kata orang, jangan tunggu kaya baru nak bersedekah. Jangan tunggu senang baru nak berkongsi. Sesungguhnya orang yang tak seberapalah yang paling pemurah hatinya. Susah senang saya, sejak belajar hingga menganggur hingga bekerja, setidak-tidaknya dengan kucing busuk seekor itu sudah pasti saya kongsi semua rezeki. Paling tidak, apa yang ada dalam pinggan saya itulah yang saya kongsi dengan Kuning.

Ah, sentimental pula malam-malam ni. Hehe.

Oh, balik kerja tadi En. Qusyairi hadiahkan dua potong kek Secret Recipe. Hadiah untuk usaha saya bulan lepas. Terima kasih En. Qusyairi. Bulan ini akan usaha lebih hebat lagi. InshaAllah.

Cukup setakat ini, mau masuk tidur dulu. Esok mau mulakan hari baru yang lebih produktif, dan inshaAllah lebih diberkati. Selamat malam. Jangan lupa maafkan semua orang sebelum lelapkan mata. Semoga semua orang akan maafkan kita juga.


Mengelak Tidak Menyelesaikan Masalah.

Assalamualaikum.


Di atas adalah kenyataan oleh Dr. Hamid Arshat, pakar kesuburan yang semua orang kenal. Menurut beliau, masalah keseimbangan hormon wanita banyak berpunca daripada stress dan peningkatan berat badan. Akibatnya berlaku gangguan pada kitaran haid menyebabkan haid lambat, atau tak datang haid langsung, atau haid berpanjangan.

Yang saya nak ceritakan hari ini ialah bagaimana kita menangani masalah kita. Semua orang ada masalah (ikan jerung pun ada masalah, uhuk uhuk). Tapi dengan merungut dan mengeluh takkan menyelesaikan masalah kita. Semua orang stress disebabkan masalah mereka. Untuk menghilangkan stress itu kenalah cari penyelesaian, bukan mengelak dari menyelesaikan masalah tersebut.

Ambil contoh masalah kesihatan (sebab ini blog kesihatan). Tanyalah semua wanita, terutamanya yang bekerja sepenuh masa macam saya. Semua mereka mengalami gangguan sakit kepala. Ada yang sampai ke tahap migrain. Ada yang cuma sekali sekala. Demam, batuk dan selesema itu perkara biasa. Badan lemah, mudah letih, tak ada tenaga. Semua perkara ini buat kita yang dah sememangnya stress dengan urusan keluarga dan kerja bertambah stress sebab ditimpa penyakit pula. Carilah penyelesaian.

Penyelesaian bagaimana?

Tanya diri sendiri, stress kita berpunca sebab apa. Kalau sebabnya beban kerja keterlaluan, ambil masa berbincang dengan majikan. Atau cuba uruskan masa dengan lebih efisien. Jika selalu rasa badan tak bermaya, curilalh sedikit masa untuk bersenam. Tak perlu berkasut sukan, tak perlu ke padang lari. Cukuplah mengelak dari menggunakan lif, sebaliknya menaiki tangga. Pilih untuk berjalan kaki ke kawasan berdekatan berbanding menaiki kenderaan. Sekadar cadangan.

Point yang saya tekankan di sini: cari penyelesaian. Kalau anda mengalami masalah kesihatan, atau masalah emosi, dapatkan bantuan. Sekadar ke klinik untuk dapatkan MC tapi tak makan ubat yang doktor beri takkan selesaikan masalah anda. Tidur dan berehat di rumah bunyi seperti cukup untuk mengurangkan demam dan letih badan, tapi sebenarnya tidak. Berapa lama anda mau tidur dan berbaring saja? Dapatkan bantuan, dapatkan penyelesaian.

Jika perlu bersenam, bersenamlah. Jika perlu mengambil vitamin, ambillah vitamin. Jika perlu pergi bercuti, pergilah bercuti. Jangan terlalu memaksa diri. Dan jangan tunggu hingga terlambat. Penyakit yang sedikit perlulah dirawat sebelum jadi melarat.

Harap artikel ini dapat membuka mata pembaca sekalian. Jangan elakkan masalah. Selesaikan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...